KLUANG: Seekor gajah jantan dewasa ditemukan mati di tepi jalan di Kampung Ilham, di sini kerana disyaki akibat termakan makanan beracun.
Mamalia itu ditemukan penduduk kira-kira pukul 8 malam tadi dalam keadaan terbaring dipercayai sudah mati berapa hari.
Seorang penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, ketika mereka memeriksa gajah berkenaan, tiada kecederaan atau luka akibat dilanggar kenderaan yang boleh dikaitkan sebagai punca kematiannya.
“Kami percaya mungkin gajah ini mati disebabkan termakan makanan yang diletakkan racun oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Amin berkata, pihaknya akan menyiasat punca kematian gajah terbabit.
Katanya, anggota Perhilitan sudah dihantar ke lokasi penemuan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematiannya.