Feri ke Langkawi beroperasi waktu malam

Feri ke Langkawi beroperasi waktu malam

BAHARIN BAHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line) yang mengendalikan perkhidmatan feri di pulau peranginan ini bersedia mengadakan perjalanan feri pada waktu malam mengikut permintaan penumpang.

Pengurus Besar Ferry Line, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut untuk beroperasi pada waktu malam.

“Sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 nanti, kami telah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Laut bagi beroperasi sehingga waktu malam atau tanpa had masa sekiranya diperlukan.

“Bagaimanapun, bagi perjalanan malam, pelayaran feri hanya akan dibuat sekiranya paras air berada pada sekurang-kurangnya 1.5 meter bagi memastikan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Baharin, perjalanan pada waktu siang ketika ini mempunyai risiko kerana paras air lebih rendah dan alur pelayaran menjadi lebih cetek dan kerja pengerukan dijangka hanya disiapkan menjelang Februari depan.

Jelasnya, jika paras air tidak mencapai tahap minimum sebanyak 1.2 meter bagi perjalanan siang pada musim cuti persekolahan ini, pihaknya akan mengadakan perjalanan pada waktu malam bagi menampung keperluan penumpang.

“Kita akan membuat penambahan semaksimum mungkin kerana tidak mempunyai halangan daripada Jabatan Laut. Kami juga mempunyai feri yang mencukupi untuk membuat feri tambahan sekiranya ada permintaan,” katanya.

Tambahnya, kapasiti terminal feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah juga perlu diambil kira kerana hanya mampu menampung sehingga 500 orang pada satu-satu masa sedangkan dua buah feri boleh berlabuh yang membawa penumpang berjumlah kira-kira 1,000 orang.

Beliau juga memaklumkan sudah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk memaklumkan kepada persatuan-persatuan nelayan bagi mengosongkan alur pelayaran agar tiada kejadian tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya