BENTONG: Polis Pahang meminta wanita bernama Faridah Daud yang mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga individu pada Ahad lalu bagi membantu siasatan selepas isu tersebut tular di laman media sosial Instagram yang dimuatnaik sendiri oleh pengguna platform itu dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l).
“Sekarang, kita sudah ambil tiga keterangan (individu), kes ini masih dalam siasatan.
“Kita sedang buat profiling dan juga giat mengesan Faridah, diharap orang ramai dapat bekerjasama membantu kita untuk menyalurkan maklumat (mengesan Faridah) untuk mempercepatkan proses siasatan,” katanya dalam sidang akhbar Kejayaan Tangkapan Kumpulan Samun ‘Geng Heri’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini hari ini.
Selasa lalu, Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang dengan seorang wanita pada April, tahun hadapan.
Hantaran di laman media sosial Instagram yang dimuatnaik sendiri oleh pengguna platform dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita berkenaan ‘menerangkan’ berkenaan majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.
Menurut hantaran di story Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Istana Pahang beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama. – UTUSAN