KOTA KINABALU: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditahan susulan 30 laporan polis yang dibuat berkaitan karikatur berbaur menghina pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.
Fahmi ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang kira-kira pukul 5 petang semalam.
Pada 19 Disember lalu, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin turut dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkaitan karikatur yang sama.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan penahanan Fahmi.
“Betul (ditahan) tapi belum direman,” katanya.
Difahamkan permohonan reman terhadap aktivis berkenaan akan dilakukan hari ini.
Siasatan terhadap Fahmi dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam melalui paparan dalam laman Facebooknya, Fahmi menyatakan “Kalau aku tak update sebelum jam 8 malam maknanya aku tidur lokap malam ni. Macam biasa, ingat kita ada hak untuk menolak daripada menjawab soalan polis!,”.
Dalam sidang akhbar semalam, Jauteh memaklumkan sebanyak 30 laporan polis telah diterima berkaitan poster karikatur yang dilukis oleh Fahmi berkaitan Tun Musa Aman yang ditampal di beberapa lokasi di Sabah.
Fahmi berada di Sabah sejak Jumaat dipercayai untuk hadir menyertai Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini di depan Menara Kinabalu.