Empat sekeluarga berdepan detik cemas rumah dilanda kepala angin - Utusan Malaysia

Empat sekeluarga berdepan detik cemas rumah dilanda kepala angin

BUMBUNG bahagian ruang tamu rumah Muhamad Bakeri Mohd. Sidek musnah diterbangkan kepala angin di Kampung Selamat di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Empat sekeluarga di Kampung Selamat di sini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dilanda kepala angin awal pagi semalam mengakibatkan keseluruhan bumbung ruang tamu rumah yang didiami sejak 33 tahun lalu itu musnah diterbangkan angin.

Mangsa, Muhamad Bakeri Mohd. Sidek, 33 berkata, ketika kejadiaan, mereka sekeluarga iaitu isteri dan dua anak berusia sembilan dan tujuh tahun sedang nyenyak tidur.

“Kejadian berlaku dalam pukul 5.30 pagi dan kami sekeluarga sedang tidur. Tiba-tiba saya dengar bunyi sangat kuat di bahagian bumbung rumah. Pada awalnya saya sangkakan rumah dilanda hujan batu, tetapi apabila saya bangun dan ke bahagian ruang tamu, saya terkejut keseluruhan bumbung di ruang tamu hilang.

“Kemudian saya keluar tengok di luar pula dan saya terkejut melihat sebahagian atap asbestos menghempap kereta saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kata Muhamad Bakeri lagi, dia kemudiannya bergegas menyelamatkan barangan lain yang terdapat di ruang tamu rumahnya, namun sebahagiannya musnah terkena hujan.

“Ketika kejadian juga hujan turun dengan sangat lebat. Saya hanya sempat selamatkan beberapa barangan. Ada barangan yang sudah rosak terkena hujan seperti peti ais, mesin kimpalan dan lain-lain lagi,” ujarnya yang bekerja sendiri dan tidak mempunya pendapatan tetap.

Muhamad Bakeri menganggarkan kerugian dialaminya melebihi RM5,000 tidak termasuk barangan lain seperti kereta Perodua Axia.

“Setakat ini saya ada menerima beberapa bantuan seperti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah dan penduduk kampung yang turut menghulurkan sumbangan. Namun saya harap ada pihak dapat membantu saya membaiki bumbung rumah saya ini dan kalau boleh ia dapat dibaiki secepat mungkin. Selagi tidak dibaiki bumbung ini, kami terpaksa duduk dalam keadaan bergelap kerana bekalan elektrik terpaksa ditutup untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, rumah terbabit satu-satunya terkena kepala angin di kampung berkenaan dan ia merupakan kejadian pertama kali dialami seumur hidup sejak menetap di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN