KUALA SELANGOR: Tindakan empat nelayan warga Myanmar menangkap ikan secara haram memakan diri apabila diberkas pihak berkuasa kira-kira 6.2 batu nautika barat daya Tanjong Karang di sini, hari ini.
Kesemua lelaki termasuk tekong berusia 29 hingga 43 tahun itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor bersama sejumlah hasil tangkapan ikan seberat 38.9 tan metrik ketika menaiki sebuah vesel nelayan tempatan, kira-kira pukul 12.45 tengah malam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata,
perkara itu dikesan ketika pihaknya menjalankan rondaan rutin penguatkuasaan Ops Ehsan dan Op Tiris di sekitar lokasi tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang leka melakukan aktiviti perikanan itu dikendalikan seorang tekong dan tigu kru warga Myanmar.
“Semakan mendapati vesel itu turut menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan. Selain itu, semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen serta tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah.
“Kesemua nelayan itu bersama vesel dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan meneruskan pemantauan dan rondaan di sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan,” ujarnya. – UTUSAN