PADANG BESAR: Rimbunan pokok hujan-hujan di kawasan hutan di Gua Kelam di sini yang cukup mempesona memberi kedamaian kepada kira-kira 350 peserta dari seluruh negara yang menyertai Perlis Woodstock Hooligan Camp yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam.
Sambil berkhemah, para peserta atau pengunjung yang datang itu turut menikmati pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan elemen kesenian dan alam.
Pengarah program berkenaan, Amin Yuzaidi Yusoff, 42, berkata, penganjuran kali adalah kesinambungan daripada Woodstock Hooligan Camp Rimba Bicara pada tahun 2022.
Katanya, objektif penganjuran program itu bertujuan memartabatkan bidang kesenian dengan turut memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan di hutan Hujan-Hujan.
Ujarnya, jumlah penyertaan pada tahun ini juga bertambah malah terdapat pelbagai pengisian menarik turut diselitkan pada kali ini.
“Antara pengisian program yang diadakan adalah seperti perkhemahan, perkongsian karya seni, sukan rakyat, sesi perkongisian pengalaman, flying fox dan rock climbing.
“Selain itu, turut diadakan persembahan dokumentari beruk kentoi, artis terkemuka seperti Kopratasa, Ito Blues Gang, Margasatwa, Awang Batil dan Wayang Kulit Asun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Amin berkata, program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri itu juga menjadi medan terbaik menghimpunkan peminat kesenian dan merapatkan hubungan antara satu sama lain.
Tambahnya, program tersebut juga dapat menjadi sebahagian daripada usaha bagi mempromosi dan merancakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2024.
“Kebanyakan para peserta datang dari seluruh Malaysia malah ada di antaranya dari luar negara seperti Thailand, Indonesia, England dan Singapura,” katanya.-UTUSAN