TUMPAT: Dua lelaki warga emas menjadi korban terbaru banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas dalam kejadian berasingan di Machang dekat sini hari ini.
Kedua-dua warga emas itu ditemukan lemas semasa memeriksa keadaan haiwan ternakan yang terjejas dengan banjir.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-duanya masing-masing merupakan korban keempat dan kelima banjir sejak banjir melanda negeri ini pada Isnin.
“Kejadian pertama berlaku di Kampung Kuala Sat, melibatkan seorang warga emas berusia 72 tahun iaitu Shokarno Mahmood. Mangsa ditemuka lemas di dalam parit pada pukul 8 pagi.
“Semasa kejadian mangsa dikatakan mahu melihat lembu peliharaannya di kawasan parit berhampiran rumah sebelum ditemukan lemas oleh ahli keluarga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kejadian kedua di Kampung Gelung Gajah melihatkan seorang warga emas berusia 78 tahun yang ditemukan lemas semasa mahu melihat kambing peliharaannya.
Katanya, mangsa Mat Salleh Yaacob ditemukan lemas di rumah rakit bersebelahan rumahnya pada pukul 1 tengah hari.
“Ketika kejadian mangsa menaiki perahu untuk memantau haiwan peliharaan yang diletakkan di rumah rakit yang terletak di sebelah rumahnya.
“Kambing itu ditempatkan di rakit selepas kawasan rumahnya ditenggelami banjir sedalam satu meter,” ujarnya.-UTUSAN