KUANTAN: Dua pesara guru berputih mata apabila wang simpanan mereka berjumlah RM2.2 juta lesap selepas terperdaya dengan penipuan secara dalam talian melibatkan pelaburan yang tidak wujud dan tuntutan insurans palsu.
Kejadian melibatkan seorang pesara guru lelaki berusia 71 tahun di Temerloh dan seorang pesara guru wanita berusia 60 tahun di Raub.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian pertama di Temerloh bermula selepas mangsa melihat iklan pelaburan saham di Facebook dan menekan pautan yang diberikan lalu disambungkan ke dalam kumpulan WhatsApp.
“Mangsa diminta untuk muat turun satu aplikasi bernama ‘CAP MAX ‘ di Playstore dan diminta mengisi maklumat peribadi, muat naik gambar kad pengenalan dan nombor akaun bank.
“Mangsa dijanjikan akan mendapat pulangan sebanyak 30 peratus dan bersetuju memasukkan wang RM10,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, selepas itu, mangsa menyemak aplikasi ‘CAP MAX’ dan mendapati keuntungan pelaburan sudah masuk ke akaun menerusi aplikasi tersebut.
Katanya, melihat kepada keuntungan itu, mangsa membuat 21 kali lagi transaksi ke dalam enam akaun berbeza sebelum mangsa sedar ditipu setelah diminta memasukkan wang RM2.84 juta.
“Mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan di dalam aplikasi tersebut tetapi tidak berjaya dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa adalah sebanyak RM1,875,199,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kes kedua yang melibatkan seorang wanita, bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai seorang ejen insurans.
Katanya, suspek memaklumkan bahawa ada individu membuat tuntutan insurans atas nama mangsa yang selepas itu menafikannya.
“Selepas panggilan dimatikan, mangsa sudah menerima satu panggilan daripada ‘Sarjan Zaidi’ yang menyatakan nama mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram melibatkan akaun bank yang berjumlah RM2.8 juta.
“Mangsa yang menafikan perkara tersebut diarahkan pergi ke bank bagi menukarkan nombor telefon diberi suspek dan suspek meminta mangsa untuk memasukkan wang daripada akaun mangsa ke akaun bank yang diberikan bertujuan untuk siasatan daripada Bank Negara.
Katanya, mangsa juga diarahkan membuat pinjaman wang di bank dan mangsa juga turut menjual barang kemas miliknya dan memasukkan wang ke akaun suspek.
Tambahnya, mangsa kemudiannya menyedari ditipu setelah diminta untuk memasukkan wang lagi sebelum membuat laporan polis. – UTUSAN