Dua pemuda hilang dijumpai selamat di perairan Aceh, Indonesia - Utusan Malaysia

Dua pemuda hilang dijumpai selamat di perairan Aceh, Indonesia

Muhammad Ikmal (kiri) dan Nor Hasrul yang hilang sejak Selasa lalu akhirnya dijumpai dalam keadaan selamat di perairan Aceh, Indonesia, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Kedua-dua pemuda yang dilaporkan hilang di laut sejak Selasa lalu akhirnya dijumpai selamat di perairan Aceh, Indonesia, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada seorang daripada pemuda terbabit iaitu Muhammad Ikmal Hakimi, 22, yang memperoleh maklumat tersebut daripada pihak polis kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ismail ketika dihubungi berkata, tiada perkataan lain dapat diungkapkan selain daripada rasa syukur kepada Allah selepas mendapat berita bahawa anaknya bersama seorang lagi rakan, Nor Hasrul Abdullah, 25, selamat.

“Saya sujud syukur kepada Allah apabila mendapat berita mereka selamat dan pihak Maritim Malaysia kini dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya.

Muhammad Ikmal Hakimi yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki hanyut dalam kejadian pada pukul 11.30 malam, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, firasat isterinya, Hanita Ismail, 47, sejak awal bahawa anak lelaki mereka masih hidup ternyata benar.

“Itulah yang dikatakan naluri seorang ibu. Memang kami sangat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa kami dan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, satu sidang akhbar mengenai penemuan dua pemuda tersebut dijangka diadakan di jeti Batu Maung, kira-kira pukul 8 pagi esok.

Katanya, sidang akhbar itu terpaksa dilewatkan kerana kapal Maritim Malaysia yang digunakan untuk membawa pulang kedua-dua mangsa dijangka tiba seawal pukul 2 atau 3 pagi disebabkan faktor cuaca yang kurang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya