KOTA BHARU: Dua beradik dari Pasir Puteh, memberi alasan mereka mahu memenuhi masa terluang sempena cuti persekolahan semasa ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti lumba haram di sepanjang kira-kira 10 kilometer Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini tengah malam tadi.
Dalam operasi bermula pukul 11.30 malam tadi itu, kedua-dua mereka antara hampir 100 penunggang motosikal yang ditahan.
Remaja yang dikenali sebagai Amir, 15, memberi alasan dia bersama abang dan lima lagi rakan masing-masing ke lokasi tersebut dengan tujuan untuk menyertai acara bermotosikal.
Menurutnya, dia sama sekali tidak mengetahui ada perlumbaan motosikal di lebuh raya tersebut.
“Saya hanya ikut kawan-kawan. Lagi pun, cuti sekolah baru mula. Saya bosan duduk di rumah dan mahu memenuhi masa lapang pada waktu malam.
“Motosikal Yamaha Y15 ini ibu saya belikan atas nama abang ipar. Kakak saya tahu saya datang ke Kota Bharu untuk bersiar-siar. Bukan untuk berlumba,” katanya semasa ditemui pemberita selepas ditahan polis awal pagi tadi.
Amir memberitahu, susulan itu dia menerima beberapa saman polis melibatkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal, tidak mempunyai cermin pandang belakang.
Katanya, pada masa sama dia turut disaman kerana motosikalnya tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Sementara itu, seorang lagi pelajar sekolah, Hadi, 17, berkata, dia ke lebuh raya itu hanya kerana mahu melihat kegiatan lumba motosikal.
Katanya, dia sama sekali tidak menyangka tindakan itu mengundang padah selepas ditangkap polis.
“Saya datang ke sini untuk tengok orang berlumba sahaja. Katanya ramai yang berlumba motosikal di sini pada malam hari bekerja. Tiba-tiba ada operasi polis pula malam ini (tadi),” ujarnya.
Dalam operasi itu, pihak polis bertindak menutup laluan dua kawasan hujung lebuh raya tersebut di Buloh Poh dan Padang Enggang di sini selain simpang di Perol semasa hampir 100 motosikal masuk ke jalan tersebut untuk berlumba.
Keadaan itu menyebabkan mereka terkepung di kawasan lebuh raya itu sehingga ada yang mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan untuk lolos, namun tetap dicekup pihak polis.-UTUSAN