PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan sesi libat urus yang komprehensif dengan semua pihak berkepentingan sebelum sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) dibangunkan, ini bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan ekosistem kesihatan negara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, pelaksanaan sistem DRG perlu mengambil kira kepelbagaian sumber dan kemampuan sektor awam serta swasta dalam negara ini.
Kata beliau, pelaksanaan sistem DRG memerlukan perancangan rapi agar tidak membebankan sistem kesihatan sedia ada.
“Sistem DRG, yang asalnya dibangunkan di Amerika Syarikat, sememangnya menawarkan potensi untuk mengawal kos penjagaan kesihatan. Namun, pengalaman negara lain menunjukkan cabaran seperti model pampasan yang tidak mencukupi bagi kes berisiko tinggi serta pesakit yang kompleks.
“Cabaran ini perlu diatasi dengan teliti supaya pelaksanaan DRG di Malaysia tidak menjejaskan kualiti penjagaan pesakit atau mengakibatkan ketidakseimbangan dalam sistem kesihatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji untuk membangunkan sistem DRG kebangsaan bagi memastikan hospital menyediakan perkhidmatan kesihatan pada kadar tidak membebankan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, DRG adalah klasifikasi pesakit berdasarkan diagnosis, jenis perawatan dan sumber yang digunakan dalam satu episod rawatan adalah penting untuk penyediaan pembiayaan sektor kesihatan dengan mengira kos rawatan, pengurusan serta tarif kesihatan.
Mengulas lanjut, Dr. Kalwinder berkata, data yang komprehensif seperti kos sebenar dari kemudahan kesihatan awam dan swasta, profil risiko pesakit, termasuk kemampuan institusi adalah penting untuk membina kerangka DRG yang relevan dengan keperluan sistem penjagaan kesihatan negara.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan perlunya pengemaskinian jadual yuran profesional yang masih menggunakan versi ke-13 yang diperkenalkan pada 2006 dan dikemaskini kali terakhir pada 2013.
“Data ini akan memastikan sistem DRG dapat mengekalkan standard kualiti perkhidmatan sambil memenuhi keperluan unik sistem kesihatan Malaysia.
“Tanpa penyesuaian jadual ini, pelaksanaan DRG boleh terjejas kerana ia tidak mencerminkan perkembangan prosedur moden,” jelasnya.
Tambahnya, MMA bimbang terhadap kemungkinan pakar perubatan mengelak mengambil kes berisiko tinggi jika kerangka DRG tidak mengambil kira kos sebenar dan kepakaran yang diperlukan untuk merawat pesakit tersebut.
“Ini boleh menyebabkan kes kompleks beralih ke hospital awam yang sudah pun terbeban, sekali gus menjejaskan keupayaan sistem awam untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.