Doktor letak jawatan: Hampir separuh beralih kepada jawatan tetap - Utusan Malaysia

Doktor letak jawatan: Hampir separuh beralih kepada jawatan tetap

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Separuh daripada 6,000 doktor yang berhenti dalam tempoh lima tahun lalu merupakan pegawai perubatan kontrak yang meletakkan jawatan untuk beralih kepada jawatan tetap.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengabaikan kebimbangan mengenai lebih 6,000 doktor yang sudah meletak jawatan dalam tempoh lima tahun lepas.

Menurut beliau, angka tersebut termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap adalah sebagai sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan.

“Perlu diakui bahawa penamatan perkhidmatan ini sebahagiannya melibatkan pegawai yang beralih ke jawatan tetap dalam sistem perkhidmatan awam.

Ini adalah sebahagian daripada proses yang telah ditetapkan bagi memastikan kestabilan dalam perkhidmatan kesihatan negara,” katanya menerusi hantaran dalam platform X, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 6,417 pegawai perubatan tetap dan kontrak meletakkan jawatan antara 2019 hingga 2023.

KKM turut merekodkan peletakan jawatan 1,046 pakar perubatan dalam tempoh yang sama, dengan 63 daripadanya memilih untuk bersara awal.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, terdapat doktor yang memilih untuk beralih ke bidang akademik yang turut menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam menerusi penyelidikan dan latihan generasi baharu profesional perubatan.

Namun begitu, beliau mengakui isu penghijrahan tenaga pakar atau ‘brain drain’ kekal sebagai cabaran besar dalam sektor kesihatan.

“Walaupun kita tidak mampu untuk sepenuhnya menghalang pegawai perubatan dan pakar berpindah ke sektor swasta, kita telah memperkenalkan pelbagai strategi untuk mengekalkan mereka dalam sistem kesihatan awam,” katanya.

Dzulkefly berkata, antara langkah jangka pendek yang diambil termasuk pelarasan gaji, jadual kerja fleksibel dan kebenaran untuk amalan lokum.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan keseimbangan kerja-kehidupan para doktor.

“Untuk jangka masa sederhana, inisiatif ‘Rakan KKM Partnership’ diperkenalkan sebagai strategi mengurangkan kadar kehilangan tenaga kerja profesional kesihatan melalui ganjaran lebih baik dan peningkatan kemudahan awam menerusi subsidi silang daripada sumber baharu pendapatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM komited menambah baik pengagihan tenaga kerja di hospital-hospital yang kritikal termasuk Hospital Seri Manjung yang bakal menerima tambahan pegawai perubatan dalam masa terdekat.

“Saya juga sedar bahawa isu ini bukan hanya terhad kepada Hospital Seri Manjung, tetapi ia merupakan cabaran di seluruh negara. KKM akan berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah ini secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengatasi cabaran ini.

“Ia juga matlamat KKM untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang diharapkan dapat menangani isu-isu sistemik dalam sektor kesihatan secara lebih berkesan.

“Langkah ini selari dengan Kertas Putih Kesihatan yang kita perkenalkan dan membuktikan komitmen jangka panjang kita terhadap reformasi sektor kesihatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya