PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen pada kadar antara 5.7 peratus hingga enam peratus tahun ini.
Jangkaan kadar itu lebih baik berbanding 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.4 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2023.
Pensyarah Fakulti Ekonomi Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, jangkaan itu berikutan prestasi ekonomi negara dalam keadaan positif.
“Saya menjangkakan dividen simpanan Konvensional diantara 5.75 peratus hingga 6 peratus manakala simpanan Syariah pula 5.6 peratus hingga 5.9 peratus tahun ini.
“Faktor dividen ini kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan positif pada suku ketiga tahun ini iaitu 5.3 peratus dan berpotensi mencecah 5.9 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.5 peratus dan 5.4 peratus masing-masing untuk simpanan Konvensional dan simpanan Syariah.
Senada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan dividen yang mampu mencecah enam peratus disebabkan prestasi positif Bursa Malaysia.
“Faktor dividen KWSP dijangka lebih tinggi dari sebelumnya kerana prestasi Bursa Malaysia yang meningkat begitu positif tahun ini, melebihi 10 peratus di KLCI,” katanya.