KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mendakwa ditipu oleh agensi pelancongan yang dikendalikan seorang usahawan dan pempengaruh media sosial.
Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan percutian ke Seoul, Korea Selatan oleh pempengaruh yang menawarkan pakej selama lima hari dengan harga kira-kira RM4,000.
Pekerja swasta, Muhamad Nur Ezwan Azazian, 42 berkata, dia membuat tempahan pakej pelancongan itu pada Oktober lalu.
“Namun saya dimaklumkan pakej tempahan saya dibatalkan namun sehingga kini saya tidak mendapat semula pulangan wang yang dijanjikan.
“Kali terakhir saya dihubungi oleh pengendali pakej berkenaan ketika bayaran terakhir dibuat, namun sehingga kini saya masih belum menerima sebarang perkembangan berhubung wang tempahan yang dibatalkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam ini.
Dalam pada itu, pengurus syarikat, Norsyuhadah Aminudin, 27, pula berkata, syarikatnya membuat tempahan melancong ke Korea Selatan menggunakan agensi pelancongan itu juga berdepan dengan pelbagai kesukaran seperti penginapan, makanan, pengangkutan dan tiket penerbangan.
“Hotel yang dikatakan ditempah oleh individu itu telah bertukar sebanyak empat kali termasuk sewaktu kami tiba di Seoul, malah lokasinya terletak di luar bandar.
“Kami mengambil masa selama dua jam untuk tiba di hotel itu dari Seoul,” ujarnya.
Lebih buruk, Norsyuhadah memaklumkan, mereka tidak disediakan tiket penerbangan balik.
“Majikan kami terpaksa mendahulukan duit simpanannya sebanyak RM15,000 untuk membawa kami pulang ke tanah air.
“Tujuan laporan polis dibuat untuk menuntut jumlah kerugian dan merasakan kami diperdaya kerana janji pakej pelancongan tidak disedikan,”katanya.
Terdahulu, tular dalam laman sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina.
Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.
Menyedari hal itu, Kim Seri menerusi Instagram memaklumkan dia akan mengeluarkan kenyataan rasmi di akaun laman sosialnya berhubung isu tersebut selain memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan pada 1 Februari tahun depan.