TUMPAT: Seorang suri rumah tidak menyangka penyakit resdung berpanjangan yang dialaminya sejak sejak Mei lalu petanda dia menghidap kanser hidung tahap tiga.
Ruhaiza Mohd. Razali, 36, dari Kampung Tujoh di sini berkata, perkara itu disahkan doktor selepas menjalani pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Tebrau, Johor semasa menetap di negeri berkenaan.
Katanya, sebelum itu dia mengalami rasa kebas pada bahagian lelangit dan kahak berdarah sejak Mei lalu.
“Saya dikesan menghidap penyakit ini ketika menetap bersama suami yang bekerja di Johor. Sepanjang empat bulan lalu, saya sudah menjalani enam kali kemoterapi dan 35 kali radioterapi.
“Sejak mengidap penyakit ini, saya hanya boleh menjamah makanan yang lembut dan berkuah. Ini kerana setiap kali mahu menelan makanan, kerongkong saya sakit,” katanya ditemui pemberita di Kampung Tujoh sempena jelajah misi bantuan banjir oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Himpunan Kanser SeMalaya di sini, kelmarin.
Ruhaiza berkata, disebabkan penyakit itu, dia hilang berat badan sebanyak 10 kilogram dalam masa 35 hari selain berasa penat dan kebas.
Katanya, bagaimanapun dia perlu kuat bagi memastikan dua anak perempuan yang masing-masing berusia empat tahun dan enam tahun dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
“Setiap hari saya berdoa semoga diberikan kesembuhan untuk meneruskan hidup,” ujarnya yang terpaksa berpindah ke rumah saudara apabila pekarangan rumahnya dinaiki air semasa banjir melanda, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengurus Program Kanser NCSM, Mohd. Fadzrel Abu Bakar berkata, pihaknya bersama Himpunan Kanser SeMalaya membantu 50 pesakit kanser yang terjejas banjir sepanjang tempoh tiga berada di negeri ini.