Dipaksa makan daging babi, tikus kerana enggan jadi 'scammer' - Utusan Malaysia

Dipaksa makan daging babi, tikus kerana enggan jadi ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan berusia 32 tahun mendakwa dia dipaksa untuk bekerja sebagai scammer di Kemboja, selain turut dipukul dan dipaksa makan daging babi serta tikus jika tidak mengikut arahan yang diberikan.

Dia yang berlepas ke Kemboja daripada Lapangan Terbang Kuching pada 31 Julai lalu menceritakan dia sering dipukul kerana berkeras tidak mahu menjadi scammer.

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sal, 53, berkata, pada mulanya, anaknya itu berlepas ke Sarawak kerana ingin berjumpa dengan rakannya.

“Setibanya di sana, rakannya itu menawarkan pekerjaan di Kemboja dengan gaji sebanyak RM5,000.

“Rakannya juga membelikan anak saya tiket penerbangan ke Kemboja dan memaklumkan dia akan bekerja di sebuah hotel di sana,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Dalam pada itu, ibu mangsa memberitahu, setibanya di Kemboja, dia dipaksa menjadi scammer namun disebabkan keengganannya, dia lebih rela dipukul.

“Setiap hari anak saya dipukul kerana ingkar arahan sindiket dan sekiranya tidak mendapat sebarang hasil sehingga 31 Disember ini, dia akan dikurung dan tidak diberi makan langsung.

“Lebih mengaibkan, anak saya juga pernah dipaksa makan daging babi dan tikus sebelum ini,” ujarnya.

Tambah Sal, kali terakhir anaknya dihubungi pada malam semalam dan turut memaklumkan sindiket berkenaan meminta wang tebusan sebanyak RM12,000.

Sementara itu, seorang lagi ibu turut meminta bantuan menyelamatkan anak lelaki tunggalnya, berusia 19 tahun yang dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar.

Rong, 36, berkata, anaknya menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand pada 7 Disember lalu sebelum dibawa ke Myanmar melalui jalan darat ekoran lapangan terbang di Thailand terjejas kerana banjir.

“Anak mendakwa dia dibawa ke sempadan menggunakan kereta dan apabila tiba di sempadan Myanmar, pemandu itu memukulnya dan memaksa dia mengikutnya ke negara itu.

“Dia juga memberitahu melihat sindiket itu bersama beberapa individu yang memakai baju seperti tentera tempatan,” katanya.

Jelasnya, anaknya dipaksa bekerja untuk sindiket itu dan beritahu dia sering dipukul termasuk diugut menggunakan pistol.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sudah menghubungi beberapa agensi di luar negara bagi membantu menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara-negara berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya