KUALA LUMPUR: Pembelaan pertama yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika memberi keterangan bela diri pada hari pertama hari ini ialah derma RM60.6 juta yang diterimanya adalah sememangnya datang dari Arab Saudi.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, bekas Menteri Arab Saudi, Adel Al-Jubair sendiri mengesahkan bahawa derma daripada Almarhum Raja Abdullah adalah tulen dan asas kepercayaannya ialah perkara itu pernah dinyatakan sendiri oleh baginda dalam satu pertemuan pada 2010.
Selain itu, pengesahan oleh Al-Jubair itu dirakam oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan bertarikh 5 April 2016.
Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa rakaman video itu tidak dapat ditunjukkan pada hari ini dan pihaknya akan membuat persediaan sewajarnya bagi menayangkan rakaman berkenaan.
Selain itu Najib menyatakan, keterangan pegawai penyiasat, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin turut mendedahkan bahawa wakil Putera Faisal Turki bin Bandar Al-Saud sendiri tidak pernah menafikan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bukanlah satu derma.
“Berdasarkan kepada surat daripada Putera Saud pada 1 Februari 2011, dua dokumen transaksi Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT) menunjukkan kiriman wang yang dihantar ke akaun saya dilaksanakan oleh Putera Faisal dan Putera Saud dan perkara yang sama diproses oleh Bank Riyadh Arab Saudi.
“Seperti yang terbukti daripada tiga dokumen ini, kiriman wang Putera Faisal dan Putera Saud, pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 berlaku selepas saya dimaklumkan melalui surat bertarikh 1 Februari 2011.
“Untuk semua kiriman wang ini, tidak sekali pun, sama ada Bank AmIslamic atau Bank Negara memberi tanda amaran sebagai transaksi mencurigakan dan tidak membangkitkan mengenai kesahihannya atau kesahihan surat yang disertakan dengannya,” katanya.
Selain itu, ketika membaca penyataan saksinya yang setebal 525 muka surat, Najib turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Bank AmIslamic di Jalan Raja Chulan iaitu lokasi yang dikatakan tempat beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat suapan.
Najib berkata, beliau mulanya mendapat tahu mengenai dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kepuasan untuk diri sendiri apabila pertuduhan dibacakan kepadanya buat pertama kali di mahkamah.
“Saya sangat hairan sehingga saya terpaksa bertanya kepada peguam saya mengenai dakwaan ini ketika pertuduhan itu dibacakan kepada saya.
“Jumlah RM60.6 juta (dalam tuduhan) juga tidak ditanya secara khusus kepada saya (ketika siasatan) dan saya tidak diberitahu ia berkaitan tuduhan pertama atau bagaimana ia berkait dengan jaminan kerajaan yang diberikan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bagi penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
“Begitu juga perkara mengenai TIA yang diletakkan di bawah kerajaan persekutuan, usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi serta pelaburan tambahan RM1 bilion di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabahah,” katanya.
Tambah Najib, ketika rakaman percakapannya diambil, beliau hanya dirujuk kepada beberapa Slip Kiriman Wang Ambank, tetapi tidak diberitahu bagaimana kiriman itu berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan jawatannya.
Ujatnya, beliau hanya membacakan dengan kuat butiran seperti yang dipaparkan pada dokumen berkenaan dan tiada penjelasan lanjut diminta daripada pegawai perakam. Beliau juga tidak pernah disoal mengenai amaun yang berkaitan dengan dana RM60.6 juta itu.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.