Daz Bikers, KRAM, MyFundAction peruntuk RM10,000 bantu mangsa banjir di Kedah, Pantai Timur - Utusan Malaysia

Daz Bikers, KRAM, MyFundAction peruntuk RM10,000 bantu mangsa banjir di Kedah, Pantai Timur

IMAM Masjid Aman Simpang Kuala, Alor Star, Kedah, Md. Saad Abas (tengah) dan Zuhairi Ab Kadir (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada asnaf di Alor Star, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM) dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) memperuntukkan RM10,000 bagi membantu mangsa terjejas banjir di Kedah dan Pantai Timur.

Penaung Daz Bikers dan KRAM, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, misi bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai itu bermula di Kedah membabitkan 150 asnaf di Alor Star.

“Kita pilih Kedah kerana misi ini sudah pun dirancang awal sebelum banjir melanda Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu.

“Jadi kita perlu selesaikan dahulu misi di Kedah dan selepas itu, misi bantuan akan bergerak ke Pantai Timur pula jika berlaku gelombang kedua banjir,” katanya ketika ditemui di sini.

MANGSA banjir yang menerima sumbangan Daz Bikers, KRAM dan MyFundAction di Alor Star, Kedah.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, untuk misi bantuan di Kedah, ia disertai oleh 40 orang membabitkan 20 motosikal berkuasa tinggi Daz Bikers dan lima pacuan empat roda (4×4).

“Antara barangan disumbangkan adalah seperti susu, tepung, sardin bagi meringankan beban mangsa yang dilanda musibah banjir,” katanya.

Jelasnya, dalam majlis di Alor Star, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut serta menyampaikan sumbangan kepada empat pesakit kronik iaitu Noornabila Najwa Noorhamidi, Muhammad Anas Rayqal Shah Rihan, Alias Ayub dan Siti Salwa Abdul Hamid.

“Sumbangan berupa barang-barang keperluan dan wang tunai hasil kutipan di tapak Kedah International Bike Week, kelmarin. Saya menyeru agar lebih ramai pihak tampil menyalurkan sumbangan kepada pesakit terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus berusaha memberi bantuan mengikut keperluan semasa mangsa-mangsa banjir di negara ini.

“Misi bantuan ini akan terus digerakkan selepas ini melalui kerjasama sukarelawan Daz Bikers, KRAM dan MyFundAction,” katanya.

Beliau menjelaskan, selepas Kedah, pihaknya menyasarkan ke Pantai Timur dengan sasaran adalah di negeri Kelantan yang terjejas teruk akibat musibah banjir sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN