Cikgu Din puas hati jaga isteri hingga akhir hayat

Cikgu Din puas hati jaga isteri hingga akhir hayat

NUR Atiqah My Yusoff (kiri) meninggal dunia pagi tadi selepas menderita kanser tulang rawan tahap empat dan jenazahnya selamat dikebumikan Kampung Baru, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang guru, Mohammad Izzuddin Izhar, 34, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din meluahkan rasa syukur dan berpuas hati selepas dapat menjaga isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menderita kanser tulang rawan tahap empat sehingga ke akhir hayat.

Mohammad Izzuddin berkata, arwah itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kira-kira pukul 9 malam tadi semasa sedang menerima rawatan hampir sebulan.

“Isteri saya menghidap barah tulang rawan lebih setahun dan saya reda dengan kehilangan isteri tersayang.

“Saya berpuas hati kerana dapat menjaga isteri sehingga akhir hayatnya,” katanya ketika Utusan Malaysia di rumah ibu mentuanya di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan di sini hari ini.

Mohammad Izzuddin memberitahu, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Pasir Pekan, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian rakan Cikgu Din di Facebook, dia memaklumkan guru tersebut dibelenggu resah apabila terpaksa berjauhan lebih 4,600 kilometer (km) dengan isteri tercinta, Nur Atiqah yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Ketika itu, Cikgu Din mengajar di Sarawak, manakala isterinya menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Prihatin dengan nasib guru tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan arahan penempatan sementara bagi membolehkan Cikgu Din untuk berada bersama-sama isterinya di Kelantan.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN