KUANTAN: China menjadi penyumbang terbesar pelaburan bagi negeri ini dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) komited berjumlah RM14.489 bilion menerusi lima projek utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada 15 projek yang dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan jumlah keseluruhan FDI RM22.67 bilion direkodkan dari 2022 hingga Jun 2024.
Katanya, dalam tempoh itu, nilai FDI komited menunjukkan peningkatan ketara daripada RM11.01 bilion pada 2022 kepada RM11.666 bilion tahun lalu.
“Bagi tahun tahun ini, pelaburan berpotensi masih dalam peringkat rundingan dan diselia oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC),” katanya ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP- Ketari) yang ingin tahu jumlah FDI yang dicatatkan oleh kerajaan Pahang dari 2022 hingga Jun lalu dan jumlah pelaburan dari China yang telah memasuki negeri ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Tambah Mohamad Nizar, tambahan daripada itu, sebanyan 30 projek FDI yang diluluskan lesen pengilang di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan nilai pelaburan terkumpul RM1.32 bilion.
“Jumlah FDI berdasarkan kelulusan lesen pengilang telah meningkat RM886,072,566 (2023) berbanding hanya RM27,299,284. pada tahun 2022,” jelas beliau lagi. – UTUSAN