Cerun runtuh, mendap di Jalan Kuala Tahan-Mat Daling akan segera dibaik pulih - Haris Salleh - Utusan Malaysia

Cerun runtuh, mendap di Jalan Kuala Tahan-Mat Daling akan segera dibaik pulih – Haris Salleh

HARIS Salleh Hamzah (kiri) melihat kawasan runtuhan cerun menutupi separuh laluan Jalan Kuala Tahan-Mat Daling berdekatan Kampung Kuala Sat di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Syarikat konsesi di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) akan segera membaikpulih dan memantau kawasan cerun yang kerap berlaku runtuhan dan mendapan setiap kali musim hujan serta tengkujuh di sepanjang Jalan Kuala Tahan-Mat Daling di Ulu Tembeling di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, antara kawasan kerap berlaku runtuhan setiap kali musim hujan adalah jalan raya antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat di sini.

“Kita sudah pun minta syarikat konsesi pembaikan cerun di bawah JKR, iaitu syarikat Pintas Utama Sdn. Bhd. (PUSB) untuk melakukan kerja-kerja membaikpulih cerun serta laluan di situ yang dilitupi tanah dan lumpur.

“Akibat kejadian hari ini, separuh jalan raya berdekatan Kampung Kuala Sat dipenuhi tanah dan batu dari cerun runtuh berdekatan sehingga menyebabkan gangguan kenderaan dari perkampungan kawasan Ulu Tembeling.

“Saya bergegas ke sini setelah mendapat makluman penduduk lalu meminta PUSB dan JKR membaikpulih semula laluan di bawah Projek Fasa Dua ini memandangkan jalan utama antara Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling di bawah seliaan Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang (PPPNP),” katanya ketika melawat ke tempat kejadian berdekatan Kampung Kuala Sat di sini hari ini.

Menurut Haris Salleh, walaupun jalan itu masih boleh digunakan namun ia memerlukan pengawasan rapi kerana terdapat aliran air di bawah runtuhan juga kejadian hari ini berlaku berdekatan sebuah  menara kabel elektrik.

“Sepanjang musim tengkujuh, saya memohon syarikat konsesi berkenaan dan JKR terus memantau keadaan cerun dan laluan bagi memastikan keadaan selamat digunakan serta jaminan keselamatan pengguna jalan raya Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling dan pengunjung ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN