TEMERLOH: Semua pihak diingatkan supaya cakna dengan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu sehingga 14 Disember ini. melibatkan negeri di Pantai Timur termasuk Pahang.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua pihak di negeri ini perlu bersiap siaga dan diharap musibah banjir tidak berlaku seperti mana gelombang pertama.
Titah baginda, semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan ramalan hujan berterusan serta hujung tahun paras air meningkat yang kebarangkalian boleh membawa banjir gelombang kedua yang lebih teruk.
“Dalam apa jua keadaan pun, kita harus berdoa kerana doa itu merupakan satu ibadah agar. musibah banjir tidak berlaku di Pahang seperti fasa pertama di beberapa daerah seperti Temerloh, Raub, Lipis dan Jerantut.
“Manakala penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Pahang, anak-anak Sungai, tali air dan longkang besar agar bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir fasa kedua. Perhatikan pergerakan anak-anak kecil agar tidak bermain air seperti di longkang bagi mengelakkan tragedi meragut nyawa ahli keluarga,” titah baginda kepada pemberita selepas majlis penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Daerah Temerloh kepada dua penerima, Suzaini Bachik, 48, dan Shahbuddin Md. Rashid, 57, di Kampung Bukit Lada, Kerdau di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Al-Sultan Abdullah memberi jaminan projek Ru’RASA akan diteruskan untuk fasa-fasa seterusnya supaya lebih ramai rakyat yang berpendapatan rendah memperolehi kediaman sendiri.
“Sehingga kini, sebanyak 790 unit rumah meliputi fasa satu, dua dan tiga dibina bagi membantu golongan miskin mengikut daerah di Pahang. Bagi fasa dua, ia melibatkan pembinaan 260 unit rumah dan setakat ini dua buah rumah sudah siap untuk dihuni di sini. Projek seterusnya dirancang akan dilaksanakan mengikut jadual.
“Pembinaan rumah dengan kerjasama negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar persaudaraan erat dua keluarga ini dijangka akan berterusan dalam usaha membantu golongan memerlukan di Pahang,” titah baginda. – UTUSAN