KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mencadangkan agar nama pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut ditukarkan kepada Majlis Perbandaran Perlis.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, cadangan berkenaan adalah sebagai usaha bagi menjadikan seluruh negeri ini sebagai bandar pintar dan bukannya hanya meliputi kawasan Kangar semata-mata.
Katanya, cadangan itu juga adalah berikutan MPK hanyalah satu-satunya majlis perbandaran yang beroperasi di negeri ini.
“Bagi tujuan tersebut, MPK berhasrat membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan nama PBT berkenaan ditukarkan kepada Majlis Perbandaran Perlis.
“Umum mengetahui bahawa MPK inilah satunya di Perlis dan kadang-kadang, ia sedikit sebanyak turut menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat kerana kita memberi perkhidmatan untuk seluruh negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi Tea Bersempena 100 Hari Pentadbiran Yang Dipertua MPK di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, menjelang tahun hadapan, MPK juga bakal melanjutkan perkhidmatan PBT itu ke semua 380 kampung di negeri ini.
Beliau berkata, buat masa ini, MPK telah memberikan perkhidmatan kepada 26 buah kampung dan jumlah itu akan dilanjutkan ke 30 buah kampung pada setiap bulan selepas ini.
“Jadi ini akan membuatkan MPK mendahului kerana sepatutnya kita habiskan semua kampung-kampung ini menjelang 2026, namun ia dapat dilaksanakan hanya dalam masa setahun. Apabila kita dah masuk ke kampung-kampung ini, maka isu sampah-sampah tepi jalan juga tidak akan timbul lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Affendi berkata, sebuah bangunan parkir bertingkat akan dibina sekitar kawasan terminal feri penumpang Kuala Perlis pada 2025 dan dijangka siap pada tahun berikutnya.
Katanya, bangunan parkir bertingkat itu menyediakan kemudahan 690 lot parkir dengan kos pembinaan bernilai RM21 juta.
“MPK juga ucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memberi kelulusan ini dan semua proses bagi pembinaan itu mungkin akan bermula pada suku pertama 2025,” katanya.-UTUSAN