KLANG: Perairan negara hingga ke Australia berdepan jenayah rentas sempadan yang kritikal kerana selain menjadi laluan kepada aktiviti pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI), terdapat jalur baharu laluan penyeludupan dadah melalui kapal selam dikesan.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah berkata, isu penyeludupan khususnya migran di negara ini menjadi tumpuan Amerika Syarikat (AS) yang memberi persepsi kononnya Malaysia terlibat dalam aktiviti tersebut.
Menurutnya, ini kerana Malaysia pernah dilapor menjadi pusat transit kepada PATI dikesan dari negara seperti Afghanistan, Pakistan dan sebagainya yang sedang dalam perjalanan ke Australia.
“Kesan daripada itu, sebenarnya kita diperhatikan oleh AS , ada penanda tahap 1, 2 dan 3, kita pernah turun tahap yang paling buruk disebabkan kes transit itu. Walaupun kita bukannya yang membuat aktiviti itu, tetapi sebagai transit kita dikatakan terlibat macam beri sokongan.
“Bila transit, sudah tentu ada tekong darat yang menguruskan migran. Jadi itulah trend, kalau dahulu bawa masuk dari Indonesia kemudian ke negara ini, simpan cukup beberapa orang untuk keperluan mereka, penuh satu bot, bertolak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Operasi (Op) Redback 19/2024, hari ini
Op Redback itu diadakan selama empat hari bermula 2 Disember lalu untuk melakukan penguatkuasan dan pemantauan di sepanjang 118 batu nautika dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang dengan kerjasama antara APMM dan Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Pada operasi tersebut, sebanyak 60 pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kapal dan bot dilakukan dan satu tangkapan dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan di bawah lima batu nautika.
Baru-baru ini, pihak berkuasa Columbia dilapor bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Australia apabila merampas 225 ton metrik dadah jenis kokain yang merupakan tangkapan terbesar dalam sesebuah anti-narkotik operasi.
Dalam pada itu, Mohd. Zawawi memberitahu, APMM menyiasat 29 kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Beliau menjelaskan tangkapan di bawah akta tersebut dikesan berlaku pengurangan dan dikenal pasti dipengaruhi oleh penularan wabak Covid-19 pada 2020.
“Tangkapan ATIPSOM 2007 yang kita laksanakan sejak 2021 sehingga 2024 sebanyak 29 kes tangkapan. Pada 2021 sebanyak lima kes, 2022 ada peningkatan kepada 13 kes, namun pada 2023 menurun kepada empat kes dan dari Januari sehingga November lalu sebanyak tujuh kes yang ditangkap.
“Kejayaan tangkapan selain daripada penyeludupan migran, tangkapan PATI dan kontraban sepanjang Januari hingga November tahun ini, yang mana APMM menyiasat 64 kes melibatkan tangkapan PATI seramai 249 individu berjaya ditahan,” jelasnya. – UTUSAN