REMBAU: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang juga bekas tentera dari Kampung Air Melintang, Kota, di sini, dilaporkan hilang sejak petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT), Zaini Saleh berkata, sehubungan itu pihaknya bersama pasukan polis dibantu penduduk melakukan operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kehilangan itu pada pukul 5.51 petang.
Jelas beliau, operasi berkenaan dijalankan dalam radius 500 meter dari kawasan rumah warga emas yang hilang tersebut.
“Berdasarkan maklumat awal ahli keluarga yang membuat laporan polis petang tadi, warga emas ini telah keluar dari rumah pada pukul 10.10 pagi tadi dan tidak pulang. Dia juga merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal di bahagian kaki.
“Ini merupakan kehilangan kali kedua, ketika kali pertama pada awal Ogos lalu, bekas tentera ini berjaya ditemukan tidak jauh dari kawasan belukar dari rumah. Pada malam ini, operasi turut mendapat bantuan menggunakan khidmat unit anjing pengesan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Ujar Zaini lagi, operasi mencari akan diteruskan di kawasan kebun getah dan belukar sehingga warga emas berkenaan ditemukan sehingga tengah malam ini.
“Sekiranya mangsa masih tidak ditemukan, operasi akan disambung esok atas faktor keselamatan,” katanya lagi.-UTUSAN.