KANGAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta menerusi Belanjawan Perlis 2025 bagi menambah baik sistem atau infrastruktur pengairan dan saliran di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, ia membabitkan pembinaan infrastruktur pengairan dan saliran pertanian sebanyak RM2.4 juta dan pemuliharaan sungai-sungai melibatkan peruntukan RM450,000.
Selain itu katanya, projek pengurusan banjir membabitkan peruntukan RM1.2 juta serta projek pembinaan struktur kawalan hakisan pantai sebanyak RM300,000.
“Selain itu juga, struktur jambatan melintas sungai-sungai kawasan luar jelapang MADA sebanyak RM600,000 dan pembangunan sistem keselamatan empangan Timah Tasoh iaitu sebanyak RM50,000,” katanya membentangkan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shukri, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM3.5 juta bagi sektor pertanian.
Katanya, daripada jumlah tersebut, RM1 juta disediakan bagi pembangunan industri padi.
“RM1 juta lagi disediakan bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanaman buah-buahan melalui pendedahan petani dengan pengetahuan terkini dan amalan pertanian baik, khususnya dalam Insentif Pensijilan MyGap.
“Bagi menggalakkan penglibatan para belia dalam bidang pertanian, RM100,000 diperuntukkan bagi meneruskan
Program Pembangunan Briged Belia Tani.
“Dalam usaha menyokong usaha kerajaan memastikan keterjaminan makanan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM694,000 di bawah industri penternakan yang merangkumi industri ruminan, bukan ruminan dan aneka haiwan.
“Pelbagai program yang bersesuaian telah dikenal pasti untuk dilaksanakan termasuklah program Agropreneur Muda ruminan dan unggas, sumber genetik dan teknologi makanan ruminan dan juga bantuan Industri Asas Tani (IAT) dalam bentuk penyediaan kursus produk, naik taraf fasiliti dan juga promosi produk,” katanya.-UTUSAN