KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sudah bersiap sedia dari segi bekalan keperluan untuk berdepan kemungkinan berlakunya gelombang banjir ketiga yang boleh bermula pada bila-bila masa.
Pemangku Pengarahnya, Md. Yani Mat Zin berkata, pihaknya sedang membuat penambahan bekalan keperluan yang kehabisan di pangkalan hadapan.
Katanya, dari segi bekalan, tidak menjadi masalah kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghantarnya kepada JKM.
“Kita ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan tidak putus-putus. Bekalan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa juga masih banyak,” katanya ditemui Utusan Malaysia, di sini, semalam.
Md.Yani berkata, pihaknya akan memastikan semua pangkalan hadapan dipenuhi semula dengan bekalan untuk mangsa banjir.
“Sebenarnya peruntukan tambahan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sebanyak RM2 juta sudah mencukupi. Tapi dengan adanya sumbangan dari pelbagai pihak, bekalan kita sudah mencukupi untuk menghadapi gelombang seterusnya,” katanya.