Bekalan ikan musim tengkujuh mencukupi-LKIM

Bekalan ikan musim tengkujuh mencukupi-LKIM

RASHIMA Baharuddin (tengah) semasa sidang media Program Skuad Ihsan Madani dan Penyampaian Bantuan Banjir Nelayan Daerah Tumpat di Kompleks LKIM Geting, Tumpat, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan untuk pasaran tempatan masih mencukupi walaupun aktiviti nelayan berkurangan pada musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pembangunan), Rashima Baharuddin berkata, berpandukan maklumat yang diperoleh stok penimbal bekalan bahan mentah itu tidak terjejas dan mencukupi bagi menampung permintaan.

Menurutnya, bagi memastikan semua itu lancar LKIM telah menyediakan bekalan simpanan bahan asas itu menerusi jalinan kerjasama persatuan-persatuan nelayan dan syarikat swasta.

“Melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan nelayan, kita telah menyediakan stok simpanan ikan sebanyak 343 tan metrik, manakala hasil kerjasama dengan lima syarikat utama dalam kalangan pemain industri kita mengumpulkan sebanyak 9,600 tan metrik stok simpanan bekalan ikan.

“Dengan itu jumlah keseluruhan stok simpanan bekalan ikan termasuk segar beku adalah sekitar 10,150 tan metrik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Skuad Ihsan Madani dan Penyampaian Bantuan Banjir Nelayan Daerah Tumpat di Kompleks LKIM Geting, di sini hari ini.

Rashima memberitahu, pada masa sama LKIM tidak menggalakkan nelayan turun ke laut pada ketika ini berikutan gelombang kedua tengkujuh baru bermula tetapi tidak boleh menghalang sekiranya mereka masih berkeras untuk turun mencari rezeki.

“Kadangkala nelayan akan tetap turun ke laut walaupun di musim tengkujuh serta keadaan cuaca tidak menentu dan memang susah untuk menghalang mereka. Jadi kita nasihatkan agar mereka sentiasa merujuk amaran harian keadaan cuaca sebelum turun ke laut. 

“Selain itu, periksa dan pastikan peralatan termasuk bot, alat menangkap ikan serta jaket keselamatan dalam keadaan baik dan alat komunikasi berfungsi. Maklumkan juga kepada saudara-mara dan rakan-rakan agar mereka tahu nelayan turun ke laut,” ujarnya.

Tambahnya, komuniti nelayan juga masih mampu meneruskan kehidupan walaupun tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh kerana LKIM juga menyediakan bantuan sara hidup RM300 sebulan kepada mereka.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya