Barangan rosak akibat banjir cecah 30 tan di Kg. Air Taling - Utusan Malaysia

Barangan rosak akibat banjir cecah 30 tan di Kg. Air Taling

SAIFUL Yazan Sulaiman (tiga dari kanan) bersama Nawal (tiga dari kiri) dan Shamrol (dua dari kiri) melihat timbunan barangan rosak berupa perabut, tilam dan peralatan elektrik penduduk di Kampung Air Taling akibat banjir, Jumaat lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dianggarkan kira-kira 30 tan barangan seperti perabot dan peralatan elektrik yang rosak akan dilupuskan selepas dikumpulkan dari rumah-rumah yang terjejas banjir di Kampung Air Taling, Johol di sini.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin berkata, kejadian banjir pada Jumaat lalu juga disifatkan yang paling buruk pernah berlaku di kampung itu serta kampung-kampung berhampiran yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol.

“Dianggarkan barangan yang dikumpulkan di kampung ini sahaja untuk dilupuskan mencecah 30 tan. Banjir menjejaskan sebanyak 14 buah rumah yang kami anggap ‘total lost’ (kerosakan menyeluruh) walaupun struktur masih ada.

“Banyak barangan elektrik dan perabot rosak teruk kerana terendam dalam air agak lama dan terpaksa dibuang,” katanya ketika ditemui pada program Gotong-Royong Perdana Pascabanjir bersama Agensi Bencana Daerah, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden, Shamrol Shah Ramli.

Dalam pada itu, ujar Nawal lagi, secara keseluruhannya terdapat 14 buah kampung di DUN Johol terjejas banjir dan sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibula

“Ketika ini PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Desa Dangi, Johol yang dijangka akan ditutup hari ini juga bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Semetara itu, seorang penduduk, Azmi Zainal Abidin, 52, berkata, kejadian banjir kali ini amat buruk apabila air naik lebih dua meter menyebabkan kesemua barangan dalam rumahnya rosak.

“Kereta pacuan empat roda saya juga dimasuki air serta sebuah motosikal juga rosak terendam banjir. Air naik mendadak dan kami terpaksa meninggalkan semuanya serta berpindah ke PPS.

“Apabila air surut dan dapat balik ke rumah, saya seperti mahu menangis melihat keadaan rumah ini dengan kesemua barangan rosak teruk,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya