SEREMBAN: Seorang bapa kepada tiga orang anak bersyukur apabila dibebaskan lebih awal daripada menjalani hukuman penjara selama 10 bulan selepas terpilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Banduan dikenali sebagai Azhar dan berusia 36 tahun itu mengakui, mahu menggunakan peluang yang diberi itu untuk memulakan kehidupan baharu serta bertekad untuk tidak lagi terbabit dengan dadah yang menjadi punca dirinya meringkuk ke dalam penjara.
“Jika diikutkan, hukuman penjara saya lama lagi namun saya bersyukur diberi peluang kali ini. Saya kesal kerana mengulangi kesalahan dadah yang menyebabkan saya masuk ke dalam penjara.
“Ini adalah kesalahan ketiga saya berkaitan dadah dan kali ini saya tekad untuk berubah demi keluarga, dengan peluang diberikan ini menambahkan lagi keazaman saya untuk terus berubah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Di Nanti) sempena Perayaan Krismas Tahun 2024 di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, seramai 41 orang prospek dari Penjara Negeri Sembilan telah terpilih menerusi program itu setelah melalui beberapa tapisan dan layak dipertimbangkan untuk mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti sehingga dibebaskan.
“”Hasil inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu pihak industri untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing malah akan berupaya mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap banduan.
“Ini manifestasi nyata bahawa mereka tidak diabaikan sebaliknya dibimbing dan diberi peluang untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran releven untuk kerjaya selepas bebas kelak,” katanya yang turut memberitahu sebanyak sembilan majikan turut terlibat dalam mengambil banduan yang terpilih tersebut untuk bekerja bersama mereka sehinggalah sampai tempoh dibebaskan.
Dalam pada itu, salah seorang majikan yang juga pengurus restoran, Hairoi Izzat Jumah, 29, memberitahu, restoran tersebut antara yang paling awal mendapatkan khidmat pekerja bekas banduan.
“Sejak 2015 pihak kami telah mengambil pekerja seramai 200 orang dalam kalangan banduan yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti.
“Hari ini kami menerima sembilan pekerja (banduan yang terpilih) bekerja di kedai makan kami. Alhamdulillah setakat ini mereka semua bekerja dengan baik dan boleh memberi kerjasama,” katanya.-UTUSAN.