SETIU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan kerajaan mengisytiharkan darurat banjir walaupun jumlah mangsa yang terkesan bencana itu sudah melebihi 150,000 orang di beberapa negeri.
Beliau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, bencana banjir di seluruh negara berjaya ditangani dengan baik oleh seluruh agensi dan jentera keselamatan
terlibat.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak memikirkan keperluan itu (darurat bencana banjir).
“Seluruh jentera keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, hari ini.
Selepas itu, Anwar yang Menteri Kewangan turut melawat mangsa banjir PPS SK Mangkuk di sini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 150,000 mangsa dari sembilan negeri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini setakat pukul 1 petang tadi.
Banjir yang berlaku itu membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu.
Fenomena air pasang besar yang melanda perairan negara beberapa hari lalu telah memburukkan lagi banjir gelombang pertama.
Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas dengan mangsa yang dipindahkan di PPS setakat ini mencecah lebih 137,000 orang.