LIPIS: Banjir kembali melanda Pahang susulan hujan lebat berterusan malam tadi menyaksikan dua daerah terjejas iaitu Raub dan Lipis.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, seramai 22 mangsa daripada lapan keluarga berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
“Di Lipis, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit manakala lima mangsa, tiga keluarga ditempatkan di Masjid Kampung Beletik.
“Di daerah Raub pula, seramai empat mangsa daripada satu keluarga berlindung di Balai Raya Kampung Tersang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima sungai di Pahang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Sungai tersebut adalah Sungai Jelai di Jeti Lipis, Sungai Jelai di Jeram Bungor dan Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh serta Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub. – UTUSAN