PETALING JAYA: Selepas Kelantan dan Terengganu, Pahang dijangka menghadapi banjir dalam tempoh 10 hingga 14 Disember ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) yang dikeluarkan.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan berterusan dijangka menyebabkan paras air sungai di beberapa kawasan di Pahang meningkat melebihi paras bahaya, sekali gus membawa risiko banjir.
Antara lokasi yang terlibat adalah di kawasan rendah dalam lingkungan 5 Kilometer (Km) di sekitar Sungai Pahang di Jerantut, Kampung Paya Garok, Kampung Teh, Kampung Batu Embun, Kampung Jeransang dan Kampung Teluk.
“Setakat ini paras air sungai di Pahang dilihat semakin meningkat dan tidak menunjukkan trend menurun.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijadualkan, orang ramai perlu berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan banjir,” katanya.
Setakat ini masih terdapat 444 mangsa banjir di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 11 tengah hari, Jumaat.
Menurut kemas kini terkini di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa terdiri daripada 127 keluarga yang kini ditempatkan di 11 PPS di empat negeri.
Perak kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 220 mangsa daripada 68 keluarga dan ditempatkan di dua PPS dalam daerah Manjung dan Perak Tengah.
Di Johor, dua PPS dibuka yang menempatkan 85 mangsa daripada 26 keluarga dalam daerah Segamat.
Sementera di Terengganu mencatatkan 80 mangsa daripada 16 keluarga yang kini berteduh di dua buah PPS di Kemaman.
Manakala, Pahang merekodkan 59 mangsa daripada 17 keluarga dan ditempatkan di lima PPS dalam daerah Bera, Maran dan Temerloh.