KANGAR: Kewujudan dusun-dusun berusia lebih 200 tahun di sepanjang laluan di Banjaran Nakawan yang berlatar belakangkan Bukit Wang Gunung di sini dengan pemandangan cukup memukau menarik perhatian ramai.
Melihat kepada pemandangan indah tersebut, Banjaran Nakawan sepanjang 36 kilometer dari Bukit Batu Putih, Kuala Perlis ke Wang Kelian yang juga merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia itu sebenarnya berpontensi diketengahkan sebagai salah satu tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Semalam, wartawan Utusan Malaysia bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd. Ridzuan Hashim serta Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Perlis (Troper), Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berpeluang menyelesuri banjaran berkenaan untuk ke salah sebuah dusun di Wang Angin berusia lebih 200 tahun.
Untuk sampai ke dusun yang berketinggian 230 meter itu, kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa kira-kira 15 minit dengan sepanjang laluan itu menyajikan pemandangan cukup indah.
Dua Exco berkenaan juga meluangkan masa bersama komuniti dusun di banjaran berkenaan selain melihat sendiri potensi kawasan tersebut sebagai salah satu lagi lokasi tarikan pelancongan.
Melihat kepada potensi itu, Abu Bakar berkata, kawasan tersebut sesuai dibangunkan bagi mengabungkan pelancongan, pertanian dan sukan berikutan trek atau laluan di sepanjang banjaran tersebut juga digunakan untuk aktiviti larian.
Katanya, ia bakal menjadi tarikan baharu di negeri ini selain berpontensi dibangunkan khususnya daripada aspek infrastruktur terutama laluan ke dusun-dusun berkenaan.
“Terima kasih juga kepada pengusaha-pengusaha dusun di sini yang menghidupkan Banjaran Nakawan ini. Pemandangan sangat cantik selain keunikan dusun-dusun di atas banjaran yang cukup memukau.
“Banjaran Nakawan mempunyai sejarah tersendiri dengan dusun-dusun di sini cukup lama berusia ratusan tahun yang sudah pastinya mempunyai tarikan sendiri.
“Kita juga akan melihat bagaimana kesesuaian mewujudkan pelbagai tarikan baharu agar pengunjung boleh berterusan datang ke sini bukan sekadar pada musim buah-buahan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Ridzuan berkata, daripada segi pelancongan sukan, laluan di kawasan tersebut sememangnya sesuai untuk aktiviti larian yang difahamkan trek di banjaran berkenaan adalah satu-satunya di Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri akan melihat bagaimana keperluan khususnya daripada aspek infrastruktur yang dalam masa mengekalkan suasana di banjaran itu.
“Banjaran Nakawan dilihat menjadi salah satu lagi tarikan baharu pelancongan di negeri ini,” katanya.-UTUSAN