MELAKA: Kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju untuk membangunkan bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini sebagai Muzium Polis Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, bangunan berusia lebih 100 tahun itu akan dibaik pulih dan diberikan tambah nilai sesuai sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurutnya, ia wajar dijadikan muzium kerana kesan peninggalan sejarah sejak dibina pada 1924, bermula sebagai bangunan pentadbiran kolonial Inggeris sebelum dijadikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dari 1948 hingga 17 Mei 2004 dan seterusnya IPD Melaka Tengah pada 2005.
“Saya telah memohon kepada pihak pengurusan Bukit Aman yang secara prinsipnya mereka bersetuju bangunan IPD Melaka Tengah ini dijadikan Muzium Polis Melaka.
“Kita belum buat sebarang keputusan muktamad bila kompleks ini akan direalisasikan dan pada dasarnya persetujuan telah dibuat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Community Policing PDRM di bangunan lama IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, semalam.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi penurunan Jalur Gemilang diikuti bendera Melaka dan PDRM sebagai simbolik penutupan bangunan lama IPD Melaka Tengah secara rasminya.
Tambah Ab. Rauf, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) telah mengadakan perbincangan bersama Muzium PDRM Kuala Lumpur untuk kerjasama penyumbangan artifak dan bahan-bahan pameran.
Jelasnya, Perzim kini sedang melaksanakan laporan kajian kerosakan dan penyediaan pelan terukur untuk pemuliharaan bangunan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, IPD Melaka Tengah baharu mula beroperasi di Wisma Amanah, Batu Berendam sejak 16 September lalu.
“Cadangan pembinaan IPD Melaka Tengah yang baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta atas sebidang tanah berkeluasan 4.94 hektar di Krubong. Ia turut melibatkan pembinaan Balai Polis di Ayer Keroh dan Balai Polis di Tanjung Minyak,” katanya. – UTUSAN