TUMPAT: Kerajaan Kelantan telah membuat persediaan pada tahap terbaik untuk berdepan bah, namun bencana alam yang melanda kali ini disifatkan luar biasa.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, situasi itu dapat dilihat banjir yang melanda sesetengah kawasan Rantau Panjang dan Tumpat menyamai ‘bah merah’ 1967.
“Semua tahu banjir gelombang pertama tempohari adalah terbesar dalam jangkamasa 10 tahun selepas kejadian bah kuning 2014.
“Setakat ini jumlah keseluruhan mangsa banjir yang berpindah ke 316 PPS yang diaktifkan adalah seramai 114,730 orang daripada 35,444 keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Banjir Kelantan oleh Yayasan Ekonomi dan Kewangan Antarabangsa (IFE Foundation) di Dataran Masjid Ismaili, Wakaf Bharu, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu setakat ini jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir gelombang pertama belum dinilai.
Katanya, kerjaan negeri perlu menunggu sehingga kesemua urusan berkaitan diselesaikan terlebih dahulu sebelum dapat mengemukakan jumlah kerosakan.
“Anggaran kerugian tetap ada, cuma kita menunggu masa yang sesuai untuk dilaporkan.
“Bagi urusan bantuan pasca banjir, kebiasaannya akan diuruskan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) melalui wakilnya atau Pejabat Tanah dan Jajahan di kawasan-kawasan terlibat banjir,” ujarnya.-UTUSAN