Azmizam beri tempoh seminggu baiki jalan di Pelabuhan Klang

Azmizam beri tempoh seminggu baiki jalan di Pelabuhan Klang

Baiki jalan
TANGKAP layar daripada potongan video yang memaparkan Azmizam Zaman Huri menunjukkan jalan berlubang di atas Jejambat Jalan Kem menghala ke Pelabuhan Utara dekat Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) sekali lagi diingatkan dan diberi tempoh selama seminggu untuk membaiki jalan berlubang di seluruh Pelabuhan Klang terutama di atas jambatan menghala ke Pelabuhan Utara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menerusi video dalam media sosial memetik Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail berkata, baik pulih itu perlu dilaksanakan segera kerana keadaan itu sudah berarutan.

Malah, beliau mencadangkan hari Ahad sebagai waktu yang sesuai untuk kerja-kerja pembaikan jalan diadakan kerana kenderaan tidak banyak.

“Lihat jalan di atas jambatan di Jalan Kem menghala Pelabuhan Utara, yang berlubang di sana- sini. Jika jalan itu di depan rumah Ketua Pengarah JKR sudah pasti ia sudah dibaiki.

“Jalan berlubang itu lebih berbahaya pada waktu malam dan hari hujan jika ia dilanggar kenderaan kecil seperti motosikal,” katanya.

Sebelum ini, Azmizam menerusi akaun TikToknya pernah menuntut Roslan membaik pulih jalan raya pecah dan berlubang dari arah Jambatan Selat menghala Bandar Sultan Suleiman atau berdepan mogok oleh pengguna jalan raya.

Rentetan daripada itu, Ketua Setiausaha (KSU) JKR, Datuk Seri Azman Ibrahim turun padang melihat sendiri lokasi jalan rosak di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Azmizam dalam video terbaharu itu turut mendesak agar struktur expansion joint yang terjejas di jambatan sama segera dibaiki.

“Jalan berlubang dan expansion joint di atas jambatan yang telah rosak boleh menyebabkan kemalangan maut.Getahnya pun sudah tercabut, sangat berbahaya jika dilanggar motosikal.

“Kemalangan yang menyebabkan kematian bukan sahaja kerana melanggar lubang yang dalam tetapi dilanggar kerana mengelak lubang. Sepatutnya unit ronda JKR mencari lubang di jalan raya dan menampalnya bukan menunggu apabila berlaku kemalangan maut,” tegasnya.

Tambahnya lagi, tiada alasan bagi JKR untuk melakukan pemantauan terhadap jalan rosak jika beliau sendiri boleh membuat rondaan di kawasannya bagi mengesan masalah permukaan jalan raya.

“Roslan perlu membuat penjadualan semula kerja-kerja membaiki jalan atau isu sama akan didedahkan sekali lagi selepas tempoh seminggu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya