KUALA SELANGOR: “Selain mendiamkan diri, arwah dilihap kerap termenung sejak seminggu lalu.”
Demikian kata isteri Allahyarham Mohd. Azlan Solehin, 33, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam ketika dalam perjalanan pulang bekerja semalam.
Menurut Nurul Nadiah Hamdan, 32, perubahan arwah suaminya itu ketara dan berbeza dengan sikapnya yang peramah selama ini.
“Sejak kebelakangan ini, dia dilihat banyak membuat hal sendiri dan hanya menjawab sepatah apabila ditanya.
“Arwah memang selalu bergurau senda bersama saya dan anak-anak. Tidak sangka itu petanda arwah akan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui dekat Kampung Bukit Kuching, Jeram semalam.
Tambah ibu kepada dua anak itu, dia sentiasa berdoa supaya diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian berkenaan.
“Sebelum arwah keluar bekerja, saya sempat kucup tangannya namun tiada sebarang perubahan dilihat. Kini, saya perlu kuat demi anak-anak kami yang masih kecil dan bersyukur dikurniakan keluarga yang turut memberi semangat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Nadiah memohon kerjasama pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan berkenaan supaya apat berkongsi maklumat.
“Saya tiada apa permintaan lain cuma mahu mereka yang berada di lokasi kejadian berkongsi video kemalangan kepada polis.
“Urusan proses bedah siasat arwah juga telah selesai dijalankan dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bukit Kuching,” jelasnya.
Allahyarham Mohd. Azlan meninggalkan seorang isteri serta dua cahaya mata iaitu Muhammad Putra Dzulqarnain dan Muhammad Jebat Sulaiman masing-masing berumur tiga dan lima tahun.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku selepas motosikal mangsa melanggar belakang sebuah lori.
“Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN