KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan membantu 32 petugas peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) ke pusat peperiksaan di Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang di sini.
Pegawai APM Daerah Kuantan, Mejar Pertahanan Awam (PA) Zahidi Zainudin berkata, operasi berkenaan bermula pada pukul 7 pagi hari ini.
Katanya, kesemua petugas peperiksaan berkenaan berkumpul di stesen minyak Caltex, Gambang untuk dibawa menaiki trak APM.
“Setakat ini, laluan ke matrikulasi berkenaan masih boleh dilalui. Namun begitu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) memohon bantuan APM sebagai langkah awal sekiranya cuaca hujan masih berterusan dan kenderaan petugas peperiksaan tidak boleh keluar petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 69 mangsa dengan 18 keluarga terjejas.
Mangsa di Pusat Pemindahan Tetap Luit bertambah daripada 18 mangsa membabitkan empat keluarga malam semalam kepada 42 mangsa, sembilan keluarga pukul 7 pagi tadi.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, dua buah sungai berada di paras bahaya iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh dan Sungai Belat di Kampung Sri Damai.
Tiga buah sungai pada paras amaran dan 14 daripada 19 sungai paras waspada. – UTUSAN