AMK buat laporan polis terhadap Cikgu Fadli yang didakwa sentuh isu 3R - Utusan Malaysia

AMK buat laporan polis terhadap Cikgu Fadli yang didakwa sentuh isu 3R

AHMAD Azzin Izzad Bahanuddin (empat dari kanan) mewakili AMK negeri membuat laporan polis terhadap Mohd Fadli Salleh di IPD Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri membuat laporan polis terhadap bekas guru yang juga pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh susulan hantarannya di laman Facebook yang didakwa menyentuh isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Laporan yang dibuat itu adalah bertujuan bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung hantaran Mohd Fadli berkaitan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun beberapa negeri terjejas banjir.

Ketua AMK negeri, Ahmad Azzin Izzad Bahanuddin berkata, hantaran dibuat berkenaan dilihat menyentuh isu 3R dan turut mengandungi kenyataan mengganggu ketenteraman awam yang berpotensi memecah-belahkan masyarakat.

“Saya mendapati hantaran ini telah menimbulkan kemarahan dan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat kerana mengandungi kenyataan tidak bertanggungjawab di samping boleh menyebabkan ketegangan kaum serta agama,” katanya selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini hari ini.

Menerusi hantaran yang tular itu, Mohd Fadli didakwa mempertikaikan keputusan KPM yang tidak menangguhkan peperiksaan SPM walaupun beberapa negeri berdepan bencana banjir memandangkan mereka yang terjejas adalah golongan Melayu.

Mohd Fadli turut memberikan contoh beberapa penangguhan peperiksaan SPM sebelum ini antaranya seperti dilakukan KPM pada tahun 1988, 1999 dan 2001.

KPM menerusi menterinya, Fadhlina Sidek sebelum ini memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM yang dijadualkan bermula 2 Disember akan tetap diteruskan walaupun situasi banjir dilaporkan melanda beberapa negeri.

Ujar Fadhlina, KPM sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan kelancaran prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung buat semua calon yang menduduki peperiksaan itu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Azzin berkata, AMK Perlis berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat terjaga.

“Perkara berkaitan 3R ini perlu dititikberatkan kerana kita tak boleh biarkan kenyataan sebegini yang boleh mengancam ketenteraman dalam masyarakat ,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya