PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) walaupun Akta Kebebasan Maklumat digubal sebagai akta baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata, sebaliknya Akta 88 ini akan dipinda selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) sebelum ini.
“Pindaan kepada Akta 88 ini sedang dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri manakala penggubalan Akta Kebebasan Maklumat sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Pindaan Akta 88 ini adalah untuk diharmonikan selaras dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat. Akta 88 ini tidak wajar dimansuhkan,” katanya menerusi jawaban bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Akta Rahsia Rasmi akan dimansuhkan apabila Akta Kebebasan Maklumat digubal kelak.
Tambah Zaliha, Akta Rahsia Rasmi tidak akan dimansuhkan kerana ia berperanan untuk menetapkan tatacara pengurusan dan perlindungan kepada rahsia rasmi kerajaan serta menetapkan hukuman atau penalti kepada mana-mana orang yang disyaki membocorkan rahsia rasmi kerajaan.