KUALA LANGAT: Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Md. Nor @ Saleh, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau disempurnakan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.
Hussein berkata, pengalaman dan kepemimpinan yang dimiliki Akmalrizal diyakini dapat memastikan masyarakat di daerah itu berada dalam keadaan aman dan selamat selain melakukan perubahan dan inovasi terhadap usaha-usaha pencegahan jenayah.
“Saya juga percaya beliau akan meneruskan usaha-usaha yang dirintis serta membawa inovasi dan pendekatan baharu dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat di Kuala Langat.
“Juga terus menyumbang bakti serta memberikan idea yang bernas dan memberikan perkhidmatan terbaik, berkualiti dan berintegriti . Pada masa kini, polis amat mementingkan kualiti kepimpinan yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Akmalrizal sebelum ini adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, beliau memulakan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 November 2003.
Antara pernah disandang beliau seperti Asisten Superintendan (ASP) Bahagian D7A (Judi, Maksiat dan Gangsterisme) di IPD Klang Selatan dan ASP Risikan Operasi di IPD Ampang Jaya.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan IPD Kuala Langat mencatatkan penurunan kadar jenayah yang ketara bagi tempoh Januari hingga November lalu berbanding 2023.
“Pada keseluruhannya jenayah di Kuala Langat menurun sebanyak 12.6 peratus iaitu sebanyak 435 kes pada 2023 berbanding 380 kes pada tahun ini.
“Berkaitan statistik jenayah narkotik bagi tempoh sama, pada keseluruhannya kes narkotik direkodkan sebanyak 1,540 kes melibatkan 1,723 tangkapan yang merangkumi pelbagai kesalahan narkotik termasuk membekal, memiliki dan juga ujian urin,” jelasnya.
Katanya lagi setiap daerah di Kontinjen Selangor mempunyai kadar jenayah yang tersendiri melibatkan jenayah harta benda, kekerasan dan narkotik yang memaparkan variasi dan trend yang spesifik bagi sesuatu kawasan. – UTUSAN