KLANG: Perjalanan seorang pekerja kilang menuju ke tempat kerja bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang belum dikenalpasti dekat Batu 12, Jalan Kapar di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu berlaku ketika lelaki tempatan berusia 19 tahun menunggang motosikal untuk pergi ke tempat kerjanya di Shah Alam.
“Ketika kejadian lelaki itu menunggang motosikal dari arah Jeram, Kuala Selangor menghala ke Kapar. Mangsa kemudian dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan lain sebelum terbabas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat. Polis setakat ini belum menerima laporan melibatkan kenderaan yang dilanggar mangsa,” ujarnya.
Tambah Vijaya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebarang maklumat kejadian itu boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 0175843860 atau balai polis berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN