Ahmad Zahid kemuka syor Felda diletak bawah KKDW - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid kemuka syor Felda diletak bawah KKDW

AHMAD Zahid Hamidi menandatangani plak perasmian Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi, di Chemomoi, Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Syor supaya Felda diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan dikemukakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibawa ke Kabinet setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada segi pentadbirannya, pengurusan Felda pada ketika ini diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri bukannya kementerian berkenaan.

Jelasnya, ia merupakan dua perkara berbeza dan keputusan tersebut diputuskan ketika program Pemukiman Felda di ibu negara, Selasa lalu.

“Itu keputusan daripada pemukiman yang diadakan baru-baru ini, namun daripada segi pentadbirannya, pengurusan Felda ini diletakkan di bawah TPM (Timbalan Perdana Menteri), bukan bawah KKDW, ini dua perkara berbeza.

“Jadi, keputusan pemukiman supaya penyelarasan dapat dibuat sebaiknya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi di Ladang Agropolitan Chemomoi di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen antaranya Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengusulkan Felda dikawal selia KKDW bagi memudahkan koordinasi dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.

Zaliha dilaporkan berkata, pihaknya mengambil kira pandangan berkenaan namun ia memerlukan perbincangan secara khusus dengan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Kabinet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN