Ahli jawatankuasa masjid diseru aktif bendung ajaran sesat

Ahli jawatankuasa masjid diseru aktif bendung ajaran sesat

Ajaran sesat
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Bandaraya Diraja Klang, di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua ahli jawatankuasa masjid di Selangor sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat yang ketika ini amat membimbangkan.

Baginda bertitah, isu itu bukan saja mencemarkan kesucian agama malah mampu memecah belahkan perpaduan umat Islam.

“Penyimpangan akidah merupakan ancaman serius dan tidak boleh dipandang remeh kerana ia ibarat ‘api dalam sekam’ yang boleh marak tanpa disedari.

“Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan umat Islam begitu bermahajaralela hingga menyebabkan mudah sesat dan terjerumus ke dalam ajaran menyeleweng,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang di sini, yang juga masjid jamek Cina muslim pertama di negeri ini, semalam.

Pada program itu, baginda turut menyampaikan anugerah masjid terbaik negeri dan menunaikan solat maghrib serta isyak bersama rakyat.

Titah Sultan Sharafuddin lagi, umat Islam diminta sentiasa memberi tumpuan kepada khutbah Jumaat kerana ia berperanan mewakili suara khalifah (pemimpin) bagi menyampaikan nasihat dan peringatan.

“Khutbah berperanan sebagai wadah ilmu dan membuat seruan supaya bertakwa kepada Allah dan berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asha’irah dan Maturidiah.

“Selain itu, ia medium mengajak umat Islam untuk sentiasa hidup harmoni, saling hormat menghormati dan mementingkan perpaduan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda juga berharap pembinaan masjid dan rumah ibadat lain bukan saja menjadi lambang perpaduan malah mercu tanda dan pusat tarikan pelancongan utama Selangor.

“Menjadi hasrat dan harapan Beta bahawa dengan terbinanya rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang, ia dapat membentuk persefahaman dan perasaan hormat menghormati.

“Ia meliputi penganut pelbagai agama di di Klang khususnya dan di negeri Selangor secara amnya,” titah baginda.

Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang terletak di Bandar Botanik itu hasil cetusan idea Sultan Sharafuddin yang meliputi reka bentuk salah sebuah masjid di daerah Xi’an, China.

Baginda berangkat ke China pada 2015 dan berkesempatan melawat ke masjid di bandar Xi’an yang merupakan antara masjid tertua di negara itu.

Tertarik dengan sejarah dan senireka masjid itu, baginda memasang impian agar dibina sebuah masjid berkonsepkan seni bina hampir serupa didirikan di Selangor dan dijadikan sebagai masjid Cina Muslim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya