TUMPAT: Seorang peniaga berkongsi rezeki dengan mengagihkan 400 bungkus nasi berlauk gulai ayam pencen kepada mangsa banjir di kedai makannya di bandar ini, semalam.
Siti Nurbaya Mohd. Zain berkata, dua minggu kedainya tidak beroperasi kerana terjejas banjir dan timbul niat untuk bersedekah.
Katanya, apa yang dilalui oleh mangsa banjir dirasainya kerana kedai makan yang diusahakan oleh bapanya, Mohd. Zain Ali, 76, turut dinaiki air.
“Saya sendiri terjejas apabila rumah di Kampung Nechang ditenggelami air banjir. Perabot dan alat elektrik banyak tenggelam,” katanya ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurut Siti Nurbaya, dia mengambil inisiatif mengagihkan nasi bungkus percuma kerana sebelum banjir, bapanya membeli banyak beras untuk jualan di kedai makannya.
“Untuk habiskan beras itu, timbul niat untuk berkongsi rezeki dengan mangsa banjir, saya masak sendiri. Kedai kami belum beroperasi semua kerana khuatir banjir gelombang kedua,” katanya.
Katanya, agihan nasi bungkus diteruskan dan mendapat sambutan luar biasa sehingga diadakan dua sesi iaitu selepas solat Asar dan Maghrib.
Seorang mangsa banjir, Mariati Mohd Isa, 44, berkata, inisiatif nasi percuma ini dapat meringankan beban orang ramai khususnya yang terkesan banjir.