MELAKA: Majlis perkahwinan mengikut adat Melayu yang diadakan di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini kelmarin mendapat 100 juta tontonan dalam tempoh sehari selepas ditularkan oleh 60 pempengaruh dari sembilan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif All Star Influencers Award (ASIA), Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, majlis itu mencuri perhatian apabila pengantin dari Korea dan Indonesia diraikan mengikut tradisi tempatan.
Menurutnya, kebanyakan pempengaruh luar dari negara Asean teruja menghadirinya dengan pelbagai hantaran buat pasangan pengantin, selain tetamu menghadiri majlis santapan beradab menggunakan tangan dan bersila atas lantai.
“Bayangkan dalam tempoh sehari majlis perkahwinan itu ditularkan oleh semua 60 pempengaruh yang mengikuti program di Melaka sejak Selasa lalu berjaya mendapat 100 juta tontonan.
“Pencapaian ini amat hebat kerana tidak ramai pempengaruh menjadikan ini sebagai kandungan (content). Ini menunjukkan majlis perkahwinan yang menjadi adat dan budaya orang Melayu boleh mencuri perhatian dunia. Mereka tertarik dengan majlis yang diadakan termasuk makan beradab,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan 60 pempengaruh ASIA bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di hadapan Bangunan Stadthuys, semalam.
Tambah Abd. Rahman, kesemua pempengaruh terlibat datang dari Korea, Jepun, Filipina, Taiwan, Thailand, China, Vietnam, Indonesia dan termasuk Malaysia dengan anggaran mempunyai 250 juta pengikut.
Ujarnya, Melaka menjadi persinggahan kerana mempunyai banyak kesan sejarah peninggalan Belanda, Portugis dan Inggeris untuk dijadikan kandungan mereka.
“Melaka ini mempunyai banyak keunikan dan kerana itu kita bawa mereka untuk melihat dari dekat apa yang ada di Banda Hilir serta sekitarnya. Rata-rata mereka sangat teruja. Kesemua pempengaruh turut dibawa melihat kebudayaan pelbagai bangsa dan makanan tempatan adalah antara yang menjadi tarikan,” katanya. – UTUSAN