KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini menggerakkan #SkuadIhsanMadaniKDN bagi melaksanakan misi bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu.
Misi bantuan itu melibatkan seramai 100 orang sukarelawan terdiri daripada pegawai dari ibu pejabat AADK selain pejabat AADK Wilayah Persekutuan, Kelantan, Terengganu dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Sepang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, AADK meletakkan keutamaan bantuan pasca banjir kepada dua kawasan yang terjejas teruk iaitu di sekitar Pasir Mas, Kelantan dan Besut, Terengganu.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua pejawat awam memainkan peranan yang sama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Antara aktiviti yang akan dilakukan oleh sukarelawan tersebut adalah menyantuni mangsa-mangsa banjir, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan barang keperluan harian,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan sesi Flag Off #SkuadIhsanMadaniKDN ke Kelantan dan Terengganu di Ibu Pejabat AADK, Kajang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, menerusi penubuhan skuad ini, AADK sentiasa bersedia untuk menggerakkan lebih ramai anggota bagi melaksanakan misi bantuan banjir ke negeri-negeri lain.