KOTA BHARU: Kira-kira 95,784 rakyat negeri ini dari 10 daerah masih terjejas dengan banjir setakat pukul 7 pagi tadi.
Menurut InfoBencanaJKM kesemua mangsa yang terdiri daripada 29,641 keluarga sedang berlindung di 283 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, Pasir Mas merupakan daerah paling teruk apabila seramai 29,370 mangsa dari 9,814 keluarga sedang berlindung di 66 buah PPS.
“Tumpat daerah kedua paling teruk melibatkan 16,717 orang mangsa diikuti Kota Bharu (14,155), Pasir Puteh (9,864), Bachok (6,952), Kuala Krai (6,614), Machang (6,098), Tanah Merah (5,318), Jeli (660) dan Gua Musang (36),” katanya.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di negeri ini masih melepasi bacaan bahaya iaitu Sungai Kusial Baru dan Kusial di Tanah Merah, Sungai Golok di Rantau Panjang serta Kuala Jambu (Tumpat) dan Semerak (Pasir Puteh).
Sungai Kelantan di Kuala Krai, Tambatan Diraja dan Melor (Kota Bharu) serta Sungai Lebir (Gua Musang) kembali ke tahap amaran.-UTUSAN